Sejarah Penubuhan Uber

Perkembangan teknologi banyak membantu dalam kehidupan seharian masyarkat. Uber memang tidak asing lagi kepada masyarakat hari ini. Ia merupakan perintis kepada syarikat pengangkutan berintegrasi yang diwujudkan oleh Garret Camp dan Travis Kalanick di San Francisco, Amerika Syarikat. Aplikasi Uber dibangunkan untuk menghubungkan pemandu dengan penumpang melalui telefon pintar. Penumpang boleh meminta khidmat teksi melalui telefon dan tidak perlu membuang masa untuk menunggu teksi di jalan. Kini, Uber dilihat sebagai kemestian kepada pengguna untuk mendapatkan perkhidmatan sewa kereta pada harga murah melalui hujung jari sahaja. Siapa menyangka bahawa aplikasi yang dibangunkan di Amerika pada beberapa tahun lepas menjadi hit bukan sahaja di pasaran Amerika malah mula menembusi pasaran luar negara seperti Paris, Singapura, Australia, Indonesia dan tidak terkecuali juga Malaysia.

Idea penubuhan Uber muncul apabila Garret dan Travis mengalami kesukaran untuk mendapatkan perkhidmatan teksi semasa menghadiri persidangan teknologi di Paris pada tahun 2008. Situasi tersebut dilihat sebagai pencetus idea mereka untuk memperkenalkan aplikasi Uber bagi menyelesaikan masalah kesukaran untuk mendapatkan teksi di California.

Pada awal kemunculan Uber iaitu pada Mac 2009, mereka dikenali sebagai Uber Cab dan hanya menyediakan perkhidmatan kereta mewah seperti Lincoln Town Car, Cadillac Esclade , BMW 7 Series dan Mercedez Benz S550. Hanya golongan berpendapatan tinggi mampu menikmati perkhidmatan ini.Selepas 3 bulan kemunculan, mereka melancarkan aplikasi Uber bagi memudahkan pengguna untuk mendapatkan khidmat kereta sewa. Potensi syarikat yang besar untuk berkembang telah menarik perhatian oleh Oscar Salazar dan Conrad Whelan untuk menyertai Uber.

screen-shot-2015-10-07-at-3-50-09-pm

Pada tahun 2010, Ryan Graves memegang jawatan sebagai CEO Uber tetapi tidak lama dan digantikan oleh Travis. Peralihan jawatan itu ternyata tidak merugikan. Pada akhir tahun 2011, Ubercab berjaya menghasilkan dana sebanyak $44.5 juta dan kemudiannya bertukar nama kepada Uber. Melihatkan potensi Uber yang sangat tinggi, mereka berkeputusan untuk mengembangkan operasi Uber di luar Amerika. Paris dipilih sebagai bandar pertama di luar Amerika yang mendapat khidmat Uber pada tahun 2011.
Uber yang dahulunya hanya menumpukan kepada pasaran kereta mewah berubah dengan menawarkan perkhidmatan Uber X bagi memenuhi permintaan semua lapisan masyarakat. Ini kerana Uber X menawarkan khidmat kereta sewa dengan harga 35% murah daripada harga teksi dan sesuai untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Bukan itu sahaja, mulai tahun 2014, Uber mempelbagaikan portfolio perniagaan dengan memperkenalkan UberRUSH Service yang menyediakan penghantaran menggunakan basikal pada April 2014. UberPool Service turut diperkenalkan dimana ia memberi kemudahan kepada pengguna Uber untuk berkongsi kereta dengan pengguna lain yang menghala ke laluan sama. Ini sama sekali memberikan pilihan terbaik kepada pengguna untuk meminimumkan perbelanjaan pengangkutan.

Manakala di Hong Kong, Uber mencuba nasib dengan memperkenalkan Uber Cargo yang menyediakan khidmat penghantaran barang. Malah, Uber juga memperkenalkan Uber Eats yang menyediakan perkhidmatan makanan melalui Uber. Malah di Malaysia, Uber pernah membuat percubaan membuat penghantaran Starbucks melalui Uber tanpa kos tersembunyi. Percubaan demi percubaan yang dilakukan oleh Uber membuahkan hasil dan tidak hairanlah jika mereka dapat menembusi pasaran China yang besar seperti Baidu kerana sudah terbukti bahawa mereka mempunyai pengetahuan luas dalam perniagaan dan berani mencuba.

Sehingga kini, Uber bukan lagi asing kerana ia sudah beroperasi lebih 58 negara di serata dunia dan menyelesaikan masalah mendapatkan perkhidmatan teksi. Namun untuk berada pada tahap ini bukan mudah dan pelbagai rintangan perlu dihadapi demi mencapai kejayaan.

Kemunculan Uber telah mengubah corak perkhidmatan teksi dan kereta sewa dan ianya telah menjadi ancaman kepada pengusaha-pengusaha teksi. Mereka berpendapat bahawa Uber bukan syarikat yang sah dan menyebabkan pemandu-pemandu teksi kehilangan mata pencarian. Maka, berlakunya mogok secara besar-besaran di Paris untuk menentang Uber. Situasi itu turut berlaku di Malaysia dan Indonesia.

Situasi tersebut tidak dilihat sebagai ancaman kepada Uber malah mereka mengukuhkan lagi jenama mereka dan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna. Permintaan tinggi daripada penumpang membolehkan Uber terus hidup dan berkembang ke serata dunia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *