10 Cara Kreatif Pemandu Boleh Lakukan Untuk Tingkat Kualiti Servis

Pelbagai cara boleh dilakukan oleh pemandu Uber untuk meningkatkan kualiti servis kepada penumpang. Ia perlu dilihat daripada aspek-aspek seperti cara pemanduan, kemahiran berkomunikasi dan membuat penumpang rasa selesa dengan mereka. Oleh itu, 10 cara kreatif ini boleh membantu pemandu Uber untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan mereka:

1. Mempamerkan Cara Kerja Baik

Uber mempunyai sistem peraturan dalam mengendalikan perkhidmatan Uber. Perkhidmatan akan dinilai melalui cara pemandu melakukan pekerjaan iaitu dengan memandu. Selain daripada memandu mengikut peraturan dan berhati-hati di jalan raya, pemandu boleh memasang radio untuk menghiburkan hati penumpang. Lebih baik jika pemandu bertanyakan genre kesukaan mereka dan memasangnya di dalam kereta.

2. Fahami Keperluan Pelanggan

Tujuan utama pelanggan beralih kepada Uber kerana mereka mengejar masa untuk ke sesuatu tempat. Tanyakan kepada penumpang lokasi yang dituju dan jalan singkat untuk ke tempat tersebut. Walaupun Uber menyediakan peta tunjuk arah yang bernavigasi, tidak menjadi masalah jika pemandu membawa ke jalan singkat dan ia boleh menjimatkan masa perjalanan. Penumpang akan lebih gembira. Pemandu Uber boleh menurunkan penumpang di tempat yang sesuai dan selesa bagi penumpang untuk terus ke tempat yang ditujui.

3. Fasiliti Sempurna

Sebelum memulakan perjalanan, pemandu perlu memastikan kereta berfungsi dalam keadaan baik, tangki minyak sudah diisi dan angin tayar sudah mencukupi. Ini memastikan pemanduan lebih lancar dan selamat. Pemandu juga boleh mengambil inisiatif dengan menyediakan persekitaran bersih dan selesa di dalam kereta dengan meletakkan pewangi kereta, memastikan tiada sampah dan kereta dicuci tiap-tiap minggu.

Pemandu dicadangkan untuk meletakkan sedikit gula-gula atau minuman di dalam kereta. Ini adalah antara cara termudah untuk mendapat rating yang tinggi dari riders.

4. Sikap dan Komitmen Pekerja

Pemandu Uber perlu mempamerkan sikap baik semasa memandu dan mematuhi semua peraturan jalan raya. Sikap tersebut akan membuatkan penumpang berasa selesa bersama dengan anda dan memberikan anda penarafan yang baik.

5. Penampilan Diri

Tidak dapat dinafikan, penampilan memainkan peranan penting dalam menentukan impresi seseorang kepada kita. Oleh itu, pemandu Uber harus menjaga penampilan diri seperti berpakaian kemas, rambut disikat rapi, tidak mempunyai nafas berbau dan memakai deodran atau minyak wangi sesuai untuk mengelakkan badan berbau. Bau kurang enak mungkin akan menyebabkan penumpang tidak selesa dan merosakkan mood perjalanan mereka.

6. Professionalisme

Kemahiran berkomunikasi yang baik dapat menarik perhatian penumpang dan ia secara tidak langsung mempamerkan professionalism anda dalam pekerjaan. Komunikasi penting bagi merapatkan hubungan antara pemandu dengan penumpang dan dalam masa yang sama menimbulkan rasa selesa dan dekat kepada pemandu.

7. Servis Percuma

Pemandu Uber juga digalakkan membuka pintu untuk penumpang supaya mereka rasa dihargai. Selain itu, pemandu boleh menyediakan air mineral, gula-gula dan biskut untuk penumpang supaya mereka tertarik dengan cara layanan anda dan memberikan penarafan bintang yag tinggi.

8. Layanan Mesra – Peramah

Setiap manusia suka dihargai dan dilayan dengan mesra. Begitu juga dengan penumpang Uber. Tambat hati penumpang dengan memberikan layanan mesra dan beramah-tamah dengan hanya cukup bertanyakan khabar, tempat tinggal dan pekerjaan. Mungkin bukan semua orang sudi menjawab pertanyaan, tapi tidak ada salahnya untuk mencuba.

9. Ucap Selamat

Memberi salam bagi mereka yang beragama Islam atau salam sejahtera kepada bukan Muslim merupakan budaya yang perlu diterapkan bagi setiap pemandu Uber. Ini juga menunjukkan tatasusila baik dan menimbulkan impresi baik oleh penumpang.

10. Layan Penumpang Sebagai Kawan

Jangan luaskan jurang antara pemandu dengan penumpang. Anggaplah mereka sebagai kawan dan layan mereka sebaik mungkin. Selain itu, kenal pasti topic kegemaran mereka untuk memancing mereka bersembang dengan ada. Cara ini dapat merapatkan lagi silaturrahim dan memberikan pandangan terbaik kepada penumpang.

Bila bercakap mengenai servis, pastinya penumpang sentiasa mengharapkan yang terbaik daripada pemandu. Pemandu perlu sentiasa peka dengan keadaan sekeliling untuk memperbaiki mutu perkhidmatan yang diberikan kepada penumpang. Mungkin ada sesetengah penumpang mempunyai perangai teruk, namun jangan jadikan ia sebagai alasan untuk tidak memberikan layanan terbaik kepada mereka. Sentiasa kekal dengan sikap professional dapat membantu anda untuk berkembang dan memperbaiki serta meningkatkan kualiti servis.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *